Artikel Keluarga Wan Nuh

Blogger Template by Blogcrowds

Sejarah Kampung Surau Pasir Pekan

Friday, October 10, 2008

Foto: Bahagian Surau Lama, Kampung Surau, Pasir Pekan



Asal Usul Kampong Surau, Mukim Pekan.

Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah


Kampong Surau mendapat nama dari sebuah surau lama yang wujud semasa Wan Nuh Nakhoda al Haj tiba di Mukim Pekan lagi. Surau itu dikelolakan oleh seorang ulamak yang dikenali sebagai Raja Khatib[30]. Raja Khatib telah meninggal dunia dan dikuburkan di tanah perkuburan Pohon Tanjung [31].

Manakala Mukim Pekan mendapat nama kerana mengambil asalnya kawasan Kota Kubang Labu yang ditinggalkan terbiar oleh pemiliknya setelah kejatuhan kerajaan itu pada penghujung kurun ke 18[32]. Wan Ali Nakhoda al Haj menambah perkataan “supaya jadi” pada nama Pekan menjadi Pekan Supaya Jadi[33] sebagai seolah-olah doa bagi orang yang menyebutnya supaya mukim ini diberi kemakmuran oleh Allah dan terus berkembang maju.

Manakala Kampong Pasir Pekan mungkin timbul dari nama sebuah kampong di Mukim Pekan yang terletak di sepanjang tebing Sungai Kelantan yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai Kampong Pasir bersempena tanahnya yang berpasir[34], tetapi untuk mengelakkan kekeliruan dengan nama-nama lain seperti Pasir Mas, Pasir Puteh, Pasir Tumbuh, Pasir Tok Kambing maka timbullah nama Pasir Pekan.

Satu hal yang menarik ialah pada masa itu seolah-olah wujud dua pihak berkuasa yang berlainan iaitu keluarga Wan Nuh yang berhubung terus dengan pihak istana[35] dan pihak pentadbiran tempatan seperti Pegawai Daerah, Tok Nebeng , Tok Kweng, Penggawa dan Penghulu yang berada dibawah kawalan pentadbiran Penasihat British. Oleh itu dalam soal nama Mukim Pekan dan Mukim Pasir Pekan, bagi keluarga Wan Nuh nama yang digunakan dalam urusan surat menyurat ialah Mukim Pekan, ini dapat dilihat dari nama-nama seperti Syarikat Pekan Langgar Co. Ltd., Syarikat Pekan Jaya Sdn. Bhd. dan Pekan Supaya Jadi. Manakala pihak satu lagi nama yang digunakan ialah Mukim Pasir Pekan

Menurut satu cerita lisan, Mukim Pasir Pekan mendapat nama kerana pada zaman dahulu terdapat sederet kedai di atas tanah yang berpasir[36]. Sekiranya cerita lisan ini diambil kira, timbul persoalan dimanakah lokasi rumah kedai itu? Dan siapakah pula pemiliknya? Setakat maklumat yang ada deretan kedai itu ialah Gudang Sale yang dimiliki oleh keluarga Wan Nuh. Oleh itu timbulnya nama Pasir Pekan bukanlah kerana fakta sejarah tetapi kekeliruan tentang fakta.

Menurut sumber seorang pembaca laman ini, dikatakan bahawa sepatutnya Mukim Pekan berada di dalam jajahan Kota Bharu bukannya Tumpat memandangkan para penduduk Mukim Pekan, Palekbang dan Sungai Pinang mempunyai hubungan yang rapat dengan saudara mereka di Penambang.Cadangan ini telah dibantah oleh Che' Hak (Dato' Biji Wangsa) dengan alasan sekiranya Mukim Pekan, Palekbang ndan Sungai Pinag dimasukkan ke dalam jajahan Kota Bharu maka tiadalah sumber pendapatan bagi jajahan Tumpat.(cerita lisan olen Mohd. Salleh b Abdul Rahman, penduduk Mukim Sungai Pinang).

Gudang Syer

Gudang Syer[1]

Gudang ini mendapat nama SYER dari istilah bahasa Inggeris ‘SHARE” ertinya pakatan dan pelaburan. Perniagaan melalui Gudang Syer ini berasaskan kepada pakatan pelaburan dan usahasama keluarga Wan Ali dan adik-beradiknya yang menjual secara borong dan runcit barangan seperti beras, gula, garam, alat-alat membuat kain tenun seperti benang sutera, benang sturi dan sebagainya Gudang ini terletak di atas sebidang tanah seluas kira-kira 5 ekar di sebelah rusuk kiri kepala jambatan Sultan Yahya Petra dari arah Pasir Pekan ke Kota Bharu.Di atas tapak ini terdapat satu deretan kedai yang diberi sewa kepada orang lain dan satu tapak kedai yang diusahakan sendiri oleh keluarga Wan Nuh. Di situ juga terdapat satu tapak kilang papan bergergaji yang diusahakan oleh keluarga Wan Nuh.


Idea penubuhan gudang ini terbit apabila Wan Ali b Wan Nuh merasakan dirinya sudah tua dan dia sudah malas belayar lantaran mahu menumpukan perhatiannya kepada anak-anaknya yang kian membesar. Pada masa itu, Wan Ali mewakilkan urusan pembelian barangan seperti beras dan garam kepada pekerjanya yang sebelum ini dilakukan sendiri olehnya. Suatu hal yang menarik mengenai sikap Wan Ali ialah sekiranya dia sangsi dengan harga belian atau jualan barangan dagangannya dia akan bertanya khabar dengan rakan-rakannya yang biasa berniaga untuk mempastikan dia tidak ditipu oleh pekerjanya.


Tugas menyelia Gudang SYER ini dipertanggungjawabkan kepada Wan Abdul Samad b Wan Nuh, dan Wan Abdul Samad pula dibantu oleh seorang pengurus yang bernama Wan Ismail di samping Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.


Selepas kematian Wan Ali b Wan Nuh, Tugas mentadbir gudang SYER dan kilang papan bergergaji dilakukan sepenuhnya oleh Wan Abdul Samad dengan dibantu oleh seorang pengurusnya yang bernama Wan Ismail serta Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.


Perniagaan Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin maju dan mendatangkan keuntungan yang lumayan bagi keluarga Wan Nuh sehingga Wan Abdul Samad b Wan Nuh yang dipertanggungjawabkan mentadbir gudang dan kilang itu dikatakan terlebih kaya dan mewah hidupnya berbanding dengan keluarganya yang lain.


Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin mengecil apabila tanah tapak gudang dan kilang roboh sedikit demi sedikit setiap kali banjir akibat dihanyutkan oleh air. Gudang dan kilang ini ditutup secara resmi apabila tapak gudang dan kilang ini terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan kerana membina jambatan Sultan Yahya Petra.


Hasil wang pampasan ganti rugi tapak gudang dan kilang telah digunakan oleh keluarga Wan Nuh untuk membeli kilang papan bergergaji yang terletak di Tanjong Duff, Tumpat. Kilang ini ditadbir oleh Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan kemudiannya pengurusan kilang ini diambil alih oleh Wan Musa b Wan Sulaiman b Wan Abdulllah b Wan Nuh.


Perniagaan kilang papan bergergaji keluarga Wan Nuh berakhir apabila kilang ini terlepas ke tangan Wan Mahmood b Wan dari Tanah Merah kerana kecuaian pihak keluarga Wan Nuh tidak menukar nama pemilik tapak kilang ini kepada nama mereka sebaik saja mereka membeli tapak kilang dari pemilik asal. Akibatnya apabila pemilik asal meninggal dunia datanglah warisnya datang menuntut hak mereka.


Rujukan

Hasil temubual dengan Wan Jamin b Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Tengku Muniratussaniah bt Wan Mariam bt Wan Ali b Wan Nuh dan Wan Yatimah binti Wan Zahrah bt Wan Ali b Wan Nuh.



[1] Menurut Hajjah Che Habsah isteri kepada Hj. Wan Idris Wan Yunus, ejaan Gudang “SALE” tidak tepat.seperti yang dicatatkan dalam rencana sebelum ini. Sebenarnya ia dieja dengan ‘SYER’ ertinya pakatan dan pelaburan. Temubual oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah pada 2 Oktober 2008.

Perusahaan Kain Tenun




Perusahaan Kain Tenun

Oleh : Wan Mohd. Hazim b Wan Abdullah.

Perusahaan kain tenun merupakan asas kepada kegiatan perniagaan Keluarga Wan Nuh, sebelum daripada gudang SALE, kilang papan bergergaji serta perladangan getah di Kuala Nal kemudiannya Kuala Geh, Jabi dan Bukit Perah.Kain tenunan yang dikeluarkan oleh keluarga Wan Nuh ialah kain limar[1], kain songket dan kain melayoh[2].

Perusahaan kain tenun bermula dari Wan Nuh, dan kemudiannya dilanjutkan oleh anaknya Wan Ali.Semasa hayat Wan Nuh dan anaknya Wan Ali, mereka menjual kain tenun di negeri Perak[3].Selepas kematian Wan Ali perusahaan kain tenun tidak lagi menjadi keutamaan oleh kelurga Wan Nuh kerana mendatangkan kurang hasil berbanding dengan kegiatan perladangan dan gudang SALE.Kegiatan perusaan kain tenun dijalankan secara kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan sendiri[4].

Wan Adam b Wan Abdullah b Wan Nuh dikatakan mengirimkan kain tenun buatan Wan Khadijah bt Wan Abu Bakar b Wan Leha bt Wan Nuh dan Nik Sofiah[5] kepada rakannya di Pulau Pinang. Rakannya di Pulau Pinang kemudiannya mengeksport ke Mekah di Arab Saudi. Dari Mekah, kain itu kemudiannya di bawa ke Istanbul, Turki[6].

Boleh dikatakan keseluruhan anggota keluarga perempuan Wan Nuh boleh menenun kain dan penenun terbaik ialah Wan Minah bt Wan Abu Bakar, isteri kepada Wan Ali b Wan Nuh.Wan Minah kemudiannya menurunkan kepakarannya kepada anak-anak perempuannya Wan Mariam bt Wan Ali b Wan Nuh, Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh dan Wan Zaharah bt Wan Ali b Wan Nuh[7].

Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh cuba menurunkan kepakarannya kepada anak perempuannya Wan Mariam bt Wan Sulaiman b Wan Abdullah b Wan Nuh tetapi kerana tidak berminat memandangkan kerja menenun adalah satu kerja yang rumit sedangkan upahnya adalah tidak seberapa, ilmu yang diperturunkan oleh ibunya telah tidak dipraktikkan oleh Wan Mariam bt Wan Sulaiman sehingga dia hilang kemahiran menenun kain yang ada padanya[8]. Sehingga kini Wan Mariam ada mewarisi koleksi kain tenun yang ditenun sama ada oleh datuk perempuan nya Wan Minah bt Wan Abu Bakar atau yang ditenun oleh ibunya Wan Hafsah bt Wan Ali b Wan Nuh.

[1] Sejenis kain yang dikatakan telah wujud sejak zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang lagi. Cara buatan kain tenun ini dikatakan lebih rumit dari cara buatan kain songket, pada masa kini kemahiran menenun kain jenis ini telah pupus di kalangan penenun di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

[2] Sejenis kain yang digunakan oleh wanita Arab sebagai Abaya dan lelaki Arab sebagai serban bergantung kepada sais dan corak kain.

[3] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[4] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman

[5] Isteri kepada Wan Ahmad, bekas Imam Masjid Pasir Pekan.

[6] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Wan Zabedah bt Wan Abdul Samad (balu Wan Adam b Wan Sulaiman).

[7] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman dan Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[8] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman

Perladangan Getah

Perladangan Getah


Bermula apabila Wan Ali b Wan Nuh telah menggunakan kemahiran yang diperolehinya sewaktu menolong Tengku Zainal Abidin b Tengku Abdul Kadir membuka ladang getah di Mengkebang, membuka sebidang tanah yang terletak di Kampong Kuala Nal. Pada peringkat awalnya Wan Ali telah dikurnialkan tanah seluas 1,000 ekar oleh DYMM Sultan Kelantan, tetapi oleh kerana kekangan belanja dan buruh Wan Ali hanya berhasil mengusahakan seluas 375 ekar sahaja[1][1].



Kampong Kuala Nal terletak berhampiran Kampong Kuala Haur, Temangan. Temangan pada masa itu adalah sebuah pekan kecil yang maju akibat dari kegiatan perlombongan bijih besi.


Wan Ali memulakan usaha penerokaan tanahnya dengan menggunakan buruh para penduduk Kampong Kuala Nal. Wan Ali telah mengupah pekerjanya dengan bahan makanan seperti budu dan beras. Wan Ali juga membenarkan pekerjanya menanam padi huma di kawasan konsesinya dengan syarat mereka menolongnya menanam dan manjaga pertumbuhan biji getah kepunyaannya[2][2].



Tugas mentadbir ladang Kuala Nal dipertanggungjawabkan ke atas adiknya Wan Abdullah b Wan Nuh. Wan Abdullah b Wan Nuh diceritakan sebagai seorang yang amat rajin berkerja sehingga tapak tangannya tidak dapat dibuka seperti orang lain kerana sebahagian salur darah dijarinya menjadi beku akibat terlalu lama memegang batang cangkul[3][3].



Selepas kematian Wan Abdullah b Wan Nuh, tanggungjawab mentadbir ladang Kuala Nal diserahkan kepada anaknya Wan Sulaiman. Wan Sulaiman merupakan orang kepercayaan Wan Ali, Wan Ali telah mencurahkan kepadanya segala ilmu tentang bidang pertanian, kira-kira dan pentadbiran syarikat kepada Wan Sulaiman. Oleh itu tidak hairanlah jika Wan Sulaiman diberi kepercayaan oleh Wan Ali menjaga segala hartanya sepeninggalannya ke Mekah pada tahun 1927 kerana mengerjakan ibadah haji.



Wan Sulaiman ternyata tidak mensia-siakan segala kepakaran yang ad padanya, dia bersama Wan Muhammad telah mengambil upah memajak kebun dan dusun kepunyaan keluarga D’Raja Kelantan[4][4].


Kepakaran yang ada pada Wan Sulaiman telah diperturunkan kepada anak lelakinya Wan Musa dan ternyata Wan Musa dapat menguasai apa yang diajar oleh ayahnya[5][5].



Selepas kematian Wan Sulaiman pengurusan ladang Kuala Nal terus cemerlang dibawa kepimpinan Wan Musa. Sebagai seorang yang proaktif, Wan Musa sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang pertanian melalui siaran-siaran oleh pihak berkuasa juga menyertai seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa[6][6].



Malang bagi Wan Musa dek kerana upah yang kecil berbanding dengan beban kerja yang ditanggung, beliau telah cuba mencari jalan mencari pendapatan lebih lumayan dari penanaman kelapa sawit. Usaha Wan Musa mendapat tentangan dari anggota pakatan yang lain dan kerana itu beliau dipecat dari memimpin ladang Kuala Nal[7][7].



Selepas ketiadaan Wan Musa, ladang Kuala Nal ditadbir oleh orang yang kurang pengetahuan tentang selok belok pertanian mahupun pentadbiran menyebabkan berlaku huru-hara[8][8] dalam perjalanan pentadbiran ladang Kuala Nal.



Keadaan huru-hara telah menyebabkan ada anggota pakatan yang bertindak keluar dari pakatan besar dan membentuk pakatan sendiri yang lebih kecil. Mereka ini terdiri dari anak-anak Wan Zaharah bt Wan Ali iatu Wan Mohd. Noor, Wan Abdul Rahman dan Wan Yatimah.



Keadaan terus gawat sehinggalah pentadbiran ladang Kuala Nal diambil alih oleh Wan Abdullah b Wan Safiah bt Wan Abdullah b Wan Nuh.

Wan Abdullah kemudiannya melantik Wan Mohd. Najib b Wan seorang graduan UiTM dalam bidang pengurusan ladang menguruskan ladang Kuala Nal. Dibawah pentadbiran Wan Abdullah, perjalanan lading Kuala Nal kembali narmal seperti yang sepatutnya.

Amat malang bagi ladang Kuala Nal, kemunculan Wan Mohd. Najib rupanya tidak disenangi oleh bekas-bekas pentadbir ladang Kuala Nal di era zaman huru-hara. Wan Mohd. Najib menyedari hal ini dan ditambah pula dengan beban kerja yang berat berbanding dengan upah yang kecil, Wan Mohd. Najib meletak jawatan untuk menguruskan perniagaan sendiri sebagai seorang ejen insuran di Kampongnya.

Menyedari keadaan pentadbiran ladang Kuala Nal yang semakin kusut, Wan Abdullah telah mengambil inisiatif memujuk anggota pakatan Kuala Nal menyerahkan pentadbiran ladang Kuala Nal kepada pihak RISDA pada tahun 1995. Pihak RISDA telah mentadbir ladang Kuala Nal sehingga hari ini





Wakaf Falahiah

Wakaf Falahiah.ً

Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah


ًWakaf Falahiah ditubuhkan oleh Wan Sulaiman bin Wan Abdullah untuk digunakan sebagai dana untuk membantu kemajuan pelajaran agama di Mukim Pekan.

Dana Wakaf Falahiah diperolehi dari wang lebihan sumbangan orang ramai untuk membina bangunan Madrasah Falahiah dan sumbangan orang ramai menziarahi jenazah ibu mertuanya Wan Aminah binti Wan Abu Bakar dan jenazah anak perempuan sulungnya Wan Rahmah binti Wan Sulaiman.

Bagi memastikan dana Wakaf Falahiah diuruskan dengan betul menurut keperluan semasa,Wan Sulaiman telah melantik satu jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad dan Wan Abdullah bin Wan Yusoff sebagai setiausaha dan bendaharinya. Wan Sulaiman juga telah menulis satu surat wasiat bagi panduan jawatankuasa yang dilantik tatacara menguruskan dana Wakaf Falahiah.

Selepas kematian Wan Sulaiman, Wan Abdullah telah melantik anak Wan Sulaiman iaitu Wan Zakaria sebagai setiausaha Wakaf Falahiah. Pada masa kini harta dana Wakaf Falahiah terdiri dari sebidang tanah seluas seperempat ekar tanah yang didirikan sederet kedai selapis bangunan kayu di atasnya , seunit rumah kedai dua tingkat dan sejumlah 107saham mini estate Kuala Geh yang bersamaan 10 ekar tanah bertanam getah atau kelapa sawit. Pihak jawatankuasa melihat ada keperluan untuk mentadbir sendiri harta Wakaf Falahiah, justeru itu pehak jawatankuasa tidak menyerahkan pengurusan harta Wakaf Falahiah kepada pehak MAIK sebaliknya ditadbir sendiri oleh pihak jawatankuasa.

Pada masa kini pentadbiran harta Wakaf Falahiah yang merupakan sederet kedai selapis bangunan kayu dikuasai sepenuhnya oleh pihak bendahari iaitu Wan Zakaria bin Wan Sulaiman.Manakala sejumlah 107 saham dalam mini estate Kuala Geh yang merupa 10 ekar tanah bertanam sama ada getah atau kelapa sawit dan seunit rumah kedai dua tingkat dikuasai sepenuhnya oleh pihak bendahari iaitu Wan Abdullah bin Wan Yusoff. Keadaan ini berlaku apabila pihak setiausaha dan bendahari menukar nama atas geran tanah yang dikuasai mereka kepada nama mereka sendiri daripada nama Wan Sulaiman sebagai harta pesaka atas alasan untuk menyenangkan kerja-kerja pentadbiran.


Sekolah Diniah (foto kanan)

Pada awal penubuhannya dana Wakaf Falahiah digunakan untuk membiayai operasi Sekolah Diniah, Sekolah Diniah berperanan memberi pelajaran Fardu Ain serta pengajian al Quran kepada kanak-kanak Mukim Pekan. Apabila operasi Sekolah Diniah ditutup kerana ketiadaan pelajar pada tahun 1980an, bangunan Sekolah Diniah telah dijadikan pusat tahfiz al Quran yang bernama Darul-Quran Wal-Hadith oleh Ustaz Shaari bin Mustafa dari Jeli, Kelantan. Pada hari ini saebahagian besar operasi Darul-Quran Wal- Hadith dibiayai oleh dana Wakaf Falahiah.


Darul-Quran wal-hadith (bawah)




Balaisah (bawah)


Walaubagaimanapun terdapat secebis kisah bahawa Wan Zakaria (yang mengelolakan dana wakaf Falahiah) telah membiayai sepenuhnya pembinaan sebuah balaisah yang terletak di Kg. Dalam Kota, Pekan. Sehingga kehari ini, Wan Zakaria membiayai sepenuhnya operasi balaisah tersebut.

Tabung Amanah Keluarga

Tabung Amanah Keluarga
Kebun Teluk Kuala Nal

Oleh: Haji Wan Ali Wan Jaafar









Pengerusi (foto atas) dan Timbalan Pengerusi (foto bawah) Tabung Amanah Keluarga sedang menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Hari Raya, 3 Syawal 1428 lalu.



Tercetusnya idea untuk menubuhkan Tabung Amanah Keluarga Teluk Kuala Nal ialah dari perjumpaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2004 di Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan.


Tujuannya adalah seperti berikut:-

1. Mengeratkan silaturrahim antara keluarga yang berjumpa setahun sekali di perjumpaan hari raya yang balik berhari raya dari luar Kelantan.

2. Membantu pelajar yang cemerlang dalam akademiknya untuk melanjutkan pelajaran. Bantuan ini bolehlah diberi dalam bentuk derma atau biasiswa.


Penerima anugerah kecemerlangan akademik bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa Tabung Keluarga di Majlis Perjumpaan Hari Raya, 16 Oktober 2007. Bantuan pelajaran turut diberikan kepada pelajar-pelajar yang terpilih. Gambar dan berita daripada Utusan Malaysia, 17 Oktober, 2007.

Pada awal tahun 2005, telah dibuat beberapa kajian bagaimana cara yang seeloknya dan pantas bagi penubuhan tabang ini. Satu formula yang boleh diterima pakai ialah menubuhkan tabung dengan Amanah Raya Berhad (ARB) yang tidak melibatkan agensi kerajaan yang lain, dan didaftarkan di bawah nama Haji Wan Yusoff Bin Haji Wan Abdul Samad sebagai ‘Penderma’ melalui Surat Ikatan Amanah ditandatangani 9 orang wakil keluarga dengan pihak Amanah Raya Berhad.

Setelah dikenal pasti Amanah Raya Berhad sebagai ‘bekas’ untuk menyimpan dana, maka mesyuarat pertama telah diadakan di Lot 131, Jalan Sebalik Sungai Pelong, Batu 16 Jalan Kuala Selangor iaitu di Kebun Y.M. Tengku Mohd Azzman Sharifadeen pada 16 September 2006 di mana seramai 50 orang ahli keluarga yang tinggal di sekitar Lembah Kelang turut hadir mendengar penerangan untuk menubuhkan Tabung Keluarga ini. Penerangan ini disusuli dengan perjumpaan di tempat yang sama pada 2 Disember 2006, di mana wakil Amanah Raya Berhad telah hadir sama memberi penerangan dari aspek praktikaliti termasuklah wang yang dilaburkan dalam ARB dan bagaimana tabung ini diuruskan oleh mereka. Semua yang hadir bersetuju Tabung ini ditubuhkan dan ada di antara yang hadir membawa wang untuk didermakan dan dimasukkan ke dalam Tabung ini.

Perjumpaan kali kedua pada 2 Disember 2006 lebih mesra di antara keluarga ini kerana mereka telah bertenu di perjumpaan pertama tambahan pula pada musim durian di kebun YM Tengku Mohd Azzman Sharifadeen. Ada yang membawa balik buah durian yang tidak habis dimakan di situ. Kalau tuan/puan berada di kebun pada hari itu dapat dilihat keakraban silaturrahim antara keluarga dan seketika kita lupa bahawa kita adalah tetamu kepada YM Tengku Azzman Sharifadeen, bekas Ketua Eksekutif MIMOS. Terima kasih Tengku.

Penubuhan ini terlaksana oleh kerana sokongan dan dorongan dua orang yang saya kira telah mengorbankan banyak masa dan wang ringgit untuk menjayakan Tabung ini, mereka ialah Haji Wan Yusoff Bin Wan Abdul Samad dan YM Tengku Mohd Azzman Sharifadeen. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan di mana Haji Wan Yusoff Bin Wan Abdul Samad dipilih sebagai Pengerusi dan saya diberikan tugas sebagai Setiausaha/Bendahari.

Kita telah menandatangani Surat Ikatan Amanah dengan Amanah Raya Berhad pada 10 April 2007 dan mulai tarikh tersebut sehingga kini kita dapat mengumpul wang sebanyak RM28,700 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Lapan Ribu Tujuh Ratus Sahaja) yang terdiri daripada Bayaran Zakat dan Derma Am.

Jawatankuasa Pertama Tabung Amanah adalah seperti berikut:-

1) Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad – Pengerusi
2) Y.M. Dato’ Tengku Mohd Azzman Sharifadeen – Timbalan Pengerusi
3) Haji Wan Abdullah B. Wan Yusoff
4) HAji Wan Muhammad B. Wan Taib
5) Haji Wan Zakaria B. Haji Wan Sulaiman
6) Professor Dr. Haji Wan Fuad B. Wan Hassan
7) Haji Wan Jamil B. Wan Mahmood
8) Haji Wan Mohamad Kamil B. Wan Mahmood
9) Haji Wan Ali B. Wan Jaafar – Setiausaha/Bendahari

Sekiranya berlaku kekosongan dalam Jawatankuasa ini, maka ahli yang lain akan memilih seorang pengganti selaras dengan kehendak peruntukan 5 dalam Surat Ikatan Amanah tersebut. Adalah menjadi harapan pengasas Tabung ini apabila wang tabungan mencecah RM 1 juta ianya ditukarkan kepada Yayasan dan ditadbir urus mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965, iaitu sebagai sebuah ‘Company limited by Guarantee and not having a share capital – Charitable and Non-Profit making organization’ dan mempunyai undang-undang tubuhnya sendiri.

Ahli Jawatankuasa Amanah yang nama-nama mereka dicatit di dalam Surat Ikatan Amanah yang ditandatangani dengan Amanah Raya Malaysia, tiga di antara mereka diamanahkan boleh membuat pengeluaran wang dari Tabung ini, tertakluk kepada kelulusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa. Buat masa ini tiga orang yang diberi kuasa tersebut ialah:-

1. Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad – Pengerusi
2. Haji Wan Ali B. Wan Jaafar – Setiausaha/Bendahari
3. Professor Dr. Haji Wan Fuad B. Wan Hassan

Sekiranya berlaku kekosongan, Ahli JAwatankuasa boleh membuat lantikan baru untuk menggantikannya.



Alamat surat menyurat Tabung Amanah ini adalah seperti berikut:-

1. Haji Wan Yusoff B. Wan Abdul Samad
1171, Jalan Hulu Pasar
15000 Kota Bharu
Kelantan
Tel: 09-74499737]019-9123737

2. Haji Wan Ali B. Wan Jaafar
No.4, Jalan SS 2/42
47300 Petaling Jaya
Selangor
Tel: 03-78760154/ 016-2265257
Fax: 03-51914200


Demikianlah secara ringkas mengenai penubuhan Tabung ini, semoga usaha murni dan niat ikhlas Ahli Jawatankuasa Amanah mendapat sokongan semua pihak, diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih

Rumah Wakaf di Makkah

Wednesday, October 8, 2008



Sejarah Rumah Wakaf di Suleimaniah,

Makkah, Arab Saudi


Oleh Wan Zakaria b. Wan Sulaiman

Ketahuilah oleh sekalian anak cucu keturunan daripada datuk nenek kita yang bertiga beradik bahawa bahawa datuk nenek kita ada meninggalkan kepada kita sebuah rumah wakaf di bawah takrif Wakaf Khas di Kota Makkah Al-Mukarramah, Saudi Arabia bagi diwarisi turun-temurun dan dimanfaatkan semasa kita berada di Tanah Haram sama ada kerana menunaikan Haji, mengerjakan Umrah, menuntut ilmu atau sebagainya.

Untuk pengetahun dan makluman jua dengan ini dipaparkan sedikit sebanyak sejarah Rumah Wakaf tersebut sebagaimana berikut:



1. Muqadimah:


Ada diriwayatkan bahawa suatu ketika Allahyarham Tok Wan Ali benar-benar berniat (bernazar) hendak mewakafkan sebuah rumah sebagai Rumah Wakaf di kota Makkah. Boleh jadi hasrat atau ilham itu timbul oleh keranan pada masa itu sudah ada beberapa orang dari kalangan keluarga kita yang menuntut di kota Makkah dan pada hematnya mungkin Kota Makkah kelak akan menjadi tempat tumpuan oleh keluarga kita untuk menuntut ilmu. Harapan beliau mengadakan Rumah Wakaf ialah untuk memberi kemudahan bagi menarik minat dan menggalakkan anak cucu keturunannya pergi dan menuntut ilmu ke Makkah.


Hasrat yang tersirat tidak tercapai dan termakbul atau nazar tersebut tidak sempat disempurna dan ditunaikan sebelum beliau menghembus nafas terakhirnya oleh kerana wang yang disediakan untuk mengadakan Rumah Wakaf tersebut digunakan untuk membina surau di kampong surau, Pasir Pekan. Boleh jadi niatnya terubah dan terpinda oleh kerana terpengaruh dengan desakan dan suasana keadaan setempat yang benar-benar menghendaki kepada sebuah bangunan untuk surau pada masa itu. Oleh hal yang demikian wang yang ada digunakan untuk membina bangunan surau yang mana sekarang masih ada tertegak di samping bangunan masjid Pasir Pekan sekarang ini. Surau tersebut telah dibina kira-kira pada tahun 1926 iaitu selepas peristiwa yang bersejarah iaitu berlakunya banjir besar Bah Air Merah.


Bangunan Surau lama Pasir Pekan yang dibina pada tahun 1926 menggunakan wang yang asalnya disediakan oleh Wan Ali untuk mengadakan rumah wakaf di Mekah .


Selain dari itu, bagi menguatkan bukti hasrat dan hajatnya sehingga ada diriwayatnya, kononnya ada salah seorang dari keluarga kita telah diberi mimpi bahawa beliau diperlihatkan dalam mimpinya jasad Allahyarham Tok Wan Ali terapung-apung di permukaan air di dalam sebuah sungai. Pada beliau, mimpi seperti itu agak luar biasa dan menjadi tanda tanya. Lalu diceritakan kepada seorang ulamak akan mimpi tersebut. Bila ditadbir oleh ulamak tersebut, beliau berpendapat mungkin ada sesuatu hasrat atau hajat yang begitu tinggi dan besar yang belum tercapai ataua belum dapat disempurnakan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Oleh hal yan demikian waris-waris sama-sama cuba mengingati atau menyingkap kembali dengan kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa yang lalu. Justeru dari itu, maka terlintaslah bahawa mingkin, besar kemungkinan boleh jadi hasrat dan azam hendak mengadakan Rumah wakaf di kota Makkah yang tidak tercapai atau terkabul.


Apabila dipohon pendapat para alim-ulamak berhubung dengan hasrat atau azam tersebut sama ada patut disempurnakan atau tidak, pihak para alim ulamak berpendapat eloklah supaya disempurnakan supaya apa yang dihajat dan dihasratkan tercapai dan terkabul. Dengan hal yang demikian, waris-waris berasa bertanggung-jawab di atas hasrat atau azam beliau tersebut dan membuat keputusan akan menyempurnakannya.


Bagi menyempurna dan memenuhi hasrat dan azam tersebut, maka mahu tidak mahu mereka terpaksa berkorban khususnya dari aspek mengumpul sumber kewangan untuk membiayainya. Bagi mencapai tujuan tersebut mereka telah berjemak-kira dan bermuafakat di antara mereka sesama mereka, maka dengan sebulat suara bersetuju mana-mana yang mewarisi Kebun Teluk Kuala Nal menajanya dari hasil pendapatan bulanan Kebun Teluk Kuala Nal.



2. RUMAH WAKAF YANG PERTAMA:


Pada akhir tahun 1938, melalui Allahyarham Haji Wan Adam dengan dibantu oleh Pak Nik Zain telah dapat dibeli sebuah rumah 4 tingkat yang agak selesa. Rumah tersebut terletak di Qasyasiah, iaitu berhadapan dengan rumah Syeikh Ali Maliki, iaitu seorang guru yang terkenal di Masjidil Haram. Pada masa itu Allahyarham Haji Wan Adam baru sahaja berkahwin dengan Hajjah Rugayah. Setelah dibeli, Allahyarham Haji Wan Adam berpindah dan tinggal di situ. Pada Tahun 1940, beliau pulang ke tanah air.


Rumah tersebut tidak dapat bertahan lebih lama oleh kerana Kerajaan Saudi mengambil balik kawasan itu untuk dijadikan sebagai kawasan perdagangan. Oleh itu, kawasan itu diambil balik dan rumah-rumah di kawasan tersebut diruntuhkan. Pampasan dan ganti rugi diberi.


Urusan penerimaan wang pampasan dan gantirugi bagi rumah tersebut terpaksa diurus oleh Pak Nik Zain oleh kerana Allahyarham Haji Wan Adam berada di tanah air dan seterusnya mengikut peraturan dan undang-undang Kerajaan Saudi, seorang yang bukan kerakyatan (tidak mempunyai iqamah) tidak boleh menguruskannya, sama ada menerima bayaran pampasan dan gantirugi, membeli tanah atau rumah atau sebagainya.



3. RUMAH WAKAF YANG KEDUA:


Dari wang pampasan dan ganti rugi tersebut, Pak Nik Zain membeli sebuah rumah yang terletak di kawasan di Suib Amir sebagai gantinya pada tahun 1956. Rumah tersebut tidak begitu selesa dan uzur. Tambahan pula didiami oleh satu keluarga Arab yang bermasaalah. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1957, rumah tersebut dijual dengan harga SR35,000.00.


4. RUMAH WAKAF YANG KETIGA:

Dari wang jualan rumah yang kedua sebanyak SR35,000.00 pada tahun 1958 dibeli pula sebuah rumah yang terletak di Suleimaniah. Dengan terbelinya rumah ini, Allahyarham Haji Wan Adam minta jasa baik Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim supaya ,mengadakan geran dan mendaftarkannya dengan Kementerian Wakaf. Didapati begitu sekali susah dan rumit untuk menyediakan geran. Namun demikian, dengan daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.


Di dalam geran tersebut menyata dengan jelas bahawa rumah tersebut telah dibeli oleh Pak Nik Zain dan mewakafkannya balik untuk kepentingan dan dimanfaatkan oleh anak cucu kepada zuriat keturunan datuk nenek kita yang bertiga beradik. . Pak Nik Zain bersama-sama dengan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.


Apabila Allahyarham Haji Wan Adam meninggal pada 8 Julai 1957, semenjak dari tarikh tersebut urusan pengurusan Rumah Wakaf diambil alih oleh Allahyarham Haji Wan Sulaiman.

Pada peringkat awalnya rumah tersebut dibeli tidak boleh diduduki, oleh kerana tidak ada kemudahan bekalan api dan air disebabkan rumah itu tidak didaftar. Namun demikian rumah itu, diduduki oleh Tuan Haji Nik Mustapha dan Tuan Haji Ahmad Batu Tiga pada tahun 1958 atas persetujuan Hajjah Wan Hapsah dan Hajjah Nik Yatimah.


Pada tahun 1963 di atas daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim maka geran bagi rumah disedia dan didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Saudi. Justeru dari itu, api dan lain-lain kemudahan dapat diadakan dan setelah itu barulah Allahyarham Haji Wan Hassan berpindah dan tinggal di situ.



5. TAKRIF WAKAF KHAS:


Telah dimaktub dan dinyatakan dengan jelas di dalam geran (hujjah) siapa yang berhak menduduki dan menghuninya. Oleh hal yang demikian pada hemat kita dan pada lazimnya wakaf yang sedemikian rupa bolehlah ditakrif sebagai wakaf khas.

Salinan Geran Rumah Wakaf


6. HUBUNGAN NAZIR DENGAN WARIS DI SINI:


Semasa Allahyarham Haji Wan Adam masih ada, beliau telah mengambil inisiatif menghubungi Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim. Setelah beliau meninggal pada tahun 1957, Allahyarham Haji Wan Sulaiman mengambil alih tugas tersebut.


Mereka sentiasa menghubungi di antara mereka dari masa ke semasa. Hubungan tersebut tidak putus-putus dan bertali arus. Manakala Allahyarham Haji Wan Sulaiman meninggal pada tahun 1972, tugas tersebut tidak diambil alih oleh sesiapa. Maka terputuslah hubungan dan lenyaplah cerita Rumah Wakaf ini hampir 20 tahun.



7. MENCUNGKIL KEMBALI HAL RUMAH WAKAF:


Di akhir-akhir ini, atas daya usaha dan inisiatif yang diam bil dan dijalanakan sunguh-sungguh oleh:

Haji Wan Yusuf b. Haji Wan Abdul Samad

Haji Wan Idris b. Haji Wan Taib

Haji Wan Abdullah b. Haji Wan Yusoff

Haji Wan Musa b. Haji Wan Sulaiman

Haji Wan Mansor b. Haji Wan Sulaiman

Hajjah Wan Yatimah bt. Haji Wan Yusoff

Hajjah Wan Saidah bt. Haji Mohamed

Haji Wan Jamin b. Haji Wan Mahmood

Wan Zakaria b. Haji Wan Sulaiman

dapatlah dicungkil, dikembang dan subur kembali ingatan kepada Rumah Wakaf dan merintis jalan bagi menghubungi balik nazir dan anak-anak bekas nazirnya.



8. RUMAH WAKAF SEKARANG:


Rumah Wakaf tersebut terletak di Suleimaniah, Kota Makkah al-Mukarramah.

Kiri: Lorong sempit dan bertangga naik menuju ke rumah wakaf. Gambar dirakam dari jalan besar dari Jeddah menghala ke Masjidil Haram. Kanan: Rumah wakaf 2 tingkat dilihat dari atas tebing. Kelihatan seorang pemuda berdiri di pintu rumah wakaf. Rumah wakaf ini diapit oleh bangunan hotel yang dikatakan pernah berhasrat untuk membeli rumah wakaf tersebut untuk dijadikan tempat letak kereta.

Pada masa rumah itu dibeli, keletakannya agak tersorok dan terpencil dan tinggal terbiar serta penuh dengan sampah sarap. Tidak ada bekalan api dan tidak ada siapa yang hendak menghuninya. Oleh kerana rasa bimbang rumah tersebut akan dihuni oleh penghuni yang tidak diingini atau tidak direstui, khususnya dari orang Arab, oleh itu pada tahun 1963 Allahyarham Hajjah Wan Hapsah bersama-sama dengan Hajjah Nik Yatimah semasa berada di Mekkah telah meninjau rumah tersebut, menyedari rumah tersebut tinggal terbiar dan bagi menfaatkannya mereka mengesyorkan kepada Pak Nik Zain supaya meminta Allahyarham Haji Wan Hassan menduduki dan mendiaminya serta mengawasi dan menyeliakannya. Justeru dari itu, mulai daripada tahun 1963 Allahyarham Haji Wan Hassan dan keluarganya menduduki dan mendiaminya.


Kiri: Laluan dari pintu masuk masuk menghala ke dalam rumah wakaf. Kanan: Menuju ke ruang tamu di tingkat atas.


Oleh kerana Allahyaram Haji Wan Hassan telah menduduki dan mendiaminya begitu lama maka pada masa itu tidak timbul langsung rumah tersebut sebagai Rumah Wakaf dan sebaliknya rumah tersebut lebih dikenali sebagai rumah Haji Wan Hassan.


Di samping itu Allahyarham Haji Wan Hassan telah membeli sebuah rumah di kawasan Kaaki yang terletak di luar kawasan Kota Makkatul Mukarramah. Dengan demikian beliau selalulah berulang alik ke rumah barunya dan akhirnya beliau menetap terus di Kaaki dan Rumah Wakaf tinggal terbiar, tidak terurus dan terjaga sekali lagi. Terbiar kali kedua ini terus terbiar hinggalah ke hari ini.


Pada tahun 1991 Allahyarham pulang ke Kelantan dan menyampaikan khabar berita dalam satu perjumpaan yang diadakan di Teratak Alimi bahawa di sebelah Rumah Wakaf ini dibangunkan sebuah hotel dan memandangkan rumah tersebut buruk, uzur dan tinggal terbiar, tuan ampunya hotel berhasrat untuk membeli tapaknya untuk dijadikan sebagai kawasan lapang dan tempat letak kereta. Pada hemat Allahyarham Haji Wan Hassan beliau lebih berminat meruntuh dan menjualkan tapaknya kepada pemaju hotel berkenaan dengan harga yang ditawarkan sebanyak SR450,000 dan dengan wang tersebut beliau cadangkan supaya dibeli rumah lain yang lebih besar, selesa dan lebih elok yang terletaknya jauh sedikit di luar Kota Mekkah. Lagi pun bimbang, rumah itu tidak boleh dibiarkan dalam keadaan demikian, nanti akan dimusnah dan tapaknya diambil oleh Pihak Berkuasa Kota Mekkah. Oleh hal yang demikian beliau meminta persetujuan kita di sini.


Hasil dari perjumpaan yang diadakan dan maklumat yang disampaikan telah menyedarkan kita bahawa Rumah Wakaf itu sebenarnya masih wujud dan berfungsi. Setelah berbincang keputusan telah dibuat iaitu kita tidak akan meruntuhkan rumah tersebut atau menjualnya. Kita seberapa boleh akan cuba mengekalkan tapak itu dan memajukannya.


Bermula dari peristiwa itulah jasa baik Syed Zain diminta supaya meninjau dan berunding bersama-sama dengan Syed Mohamed dari Jeddah untuk mencari jalan bagaimana hendak memajukannya. Atas permintaan tersebut Syed Zain telah meninjau dengan Kementerian Wakaf bagi mempastikan kedudukan statusnya. Melalui tinjauan Syed Zain didapati memang rumah itu ada geran (Hujjah) dan telah didaftar dengan Kementerian Wakaf Saudi.



9. WARIS GANTI YANG BERHAK


Mulai dari tarikh tersebut dan melalui Hujjah itulah kita sedar bahaawa kita yang berhak di atas Rumah Wakaf tersebut dan bagi meyakinkan semua pihak kita perlu membuktikan yang kita ini adalah zuriat keturunan daripada datuk nenek kita bertiga beradik. Justeru dari itu Allahyarham Haji Wan Mansor mengesyorkan, bagi membuktikan yang kita ini adalah anak-cucu zuriat keturunan dari datuk nenek kita bertiga beradik, hendaklah disediakan satu watiqah yang disah dan diperakukan sah oleh Imam Mukim, Qadhi Besar dan Kementerian Wakaf Arab Saudi bagi makluman dan tindakan sewajarnya.


Sehubungan dengan itu atas daya usaha Allahyarham Wan Mansor dapatlah disediakan satu watiqah dan telah disah dan seterusnya diperakukan oleh Imam Mukim, disah dan diperakukan oleh Al-Fadhil Dato’ Qadhi Besar Kelantan, seterusnya disah dan diperakukan pula oleh Kementerian Luar Negeri. Watiqah tersebut didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Arab Saudi. Dengan demikian sekarang kita anak-cucu di sini telah disah dan diperakukan sebagai waris gantinya yang sah. Selain dari itu Haji Wan Yusoff bin Haji Wan Abd. Samad dan Allahyarham Wan Mansor bin Haji Wan Sulaiman dipersetujui dilantik sebagi wakil kita dari aspek pengurusannya.


Pada 14 hingga 28 Disember 1991 Haji Wan Yusoff dan Allahyarham Wan Mansor atas tajaan dari wang Kebun Teluk Kuala Nal telah berangkat ke Mekkah untuk mengurus rumah wakaf tersebut dan bagi mendapat salinan Hujjahnya. Selain dari itu cuba meninjau bagaimana hendak memulih dan memajukannya.

Pada kita lebih berminat supaya pemaju memajukannya atas dasar pawah iaitu dengan pemaju membina bangunan tinggi bertingkat-tingkat dan dua tingkat daripadanya dikhaskan untuk kita dan selebihnya bolehlah diambil manfaat darinya oleh pemaju. Setelah cukup tempoh, lazimnya 15 tahun, bangunan tersebut diserah balik kepada kita. Tetapi malang tidak ada pemaju yang berminat.


Pada bulan Oktober 1994 melalui Azami Haji Wan Yusoff telah disampaikan khabar berita mengatakan bahawa rumah tersebut telah dibaikpulih oleh Encik Suhaimi sebahagiannya dan diduduki sedangkan kita di sini tidak tahu-menahu langsung dan tidak pernah dihubungi oleh sesiapa pun untuk membaikpulihkannya. Kita rasa terkilan dan tertanya-tanya.


Oleh itu bagi mempastikannya, pada 8 hingga 21 Oktober 1994 Haji Wan Yusoff bersama-sama dengan Haji Wan Abdullah berangkat ke Mekkah untuk mengerjakan Umrah dan di samping itu bagi meninjau dan mempastikan berhubung dengan Rumah Wakaf tersebut.


Mereka dapati Rumah Wakaf tersebut telah dibaikpulih sebahagiannya oleh Encik Abdul Hadi Haji Mat dengan perbelanjaannya sendiri sebanyak SR35,000.00. Beliau telah menduduki rumah tersebut dan akan memanfaatkannya untuk mengimbuh balik wang yang dibelanjakannya. Bagi menguruskannya Haji Wan Yusoff dan Haji Wan Abdullah telah melantik beliau sebagai Penyelianya.


Atas: Penjaga dan penghuni rumah wakaf, Encik Suhaimi. Bawah: Encik Suhaimi, kanan sekali, ketika bergambar bersama jemaah haji yang bertandang di hadapan rumah wakaf pada 24 Disember 2007. Beliau yang berasal dari Tal Tujoh, Pasir Mas dan sudah mendapat taraf pemastautin tetap Kerajaan Arab Saudi itu mengusahakan perniagaan katering untuk menyara hidup beliau sekeluarga.

Perancangan Projek Pembesaran Kompleks Masjidil Haram yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Saudi yang melibatkan perobohan bangunan-bangunan di sekitar Masjidil Haram. Dikatakan Rumah Wakaf ini tidak termasuk dalam kawasan projek yang digazetkan.

Rumah Wakaf terletak di permulaan Jalan Abdullah Bin Al-Zubair

Khayalan pelukis apabila projek pembesaran tersebut siap kelak.


10. KESIMPULAN

Dengan berkat doa dari datuk nenek kita akhirnya niat dan hasrat mereka dapat juga sampai ke tangan anak cucunya walau pun terpaksa mengambil masa yang begitu lama dan menempuh liku-liku jalan yang rumit. Justeru itu kita boleh dikatakan cukup-cukup bernasib baik, kalau tidak rumah itu akan lesap entah ke mana, akan hilang begitu sahaja dan yang akan dapat dimanfaatkan hanya nama dan sejarahnya sahaja.

Dengan adanya salinan Hujjah di tangan kita maka yakinlah kita bahawa Rumah Wakaf tersebut masih wujud dan kita yang berhak di atasnya.


Rumah Wakaf yang diwakafkan oleh datuk nenek kita untuk kita sudah dibaik pulih. InsyaAllah bolehlah dimanfaatkan sekarang.


Kita sebagai waris ganti telah diperakukan dan mendapat pengiktirafan dari semua pihak yang berkenaan dan bersangkutan.


Itulah sedikit sebanyak sejarah berhubung dengan Rumah Wakaf untuk pengetahun dan makluman kita semua. Oleh itu sama-samalah kita memanfaatkannya semoga apa yang dihasratkan oleh datuk nenek kita tercapai.

Perlu dan sayugia diingatkan bahawa sebarang hubungan berkaitan dengan Rumah Wakaf hendaklah melalui Jawatankuasanya yang dilantik dari semasa ke semasa.


Wassalam


WAN ZAKARIA BIN HAJI WAN SULAIMAN

Termaktub di Teratak Kubang Labu,

Kampung Dalam Kota,

Pasir Pekan

Kelantan

Bertarikh: 24 Rejab 1415

27 Disember 1994


Nota: 1. Semua gambar serta keterangannya ditambah oleh penyunting dan bukan dari artikel penulis asal.

2. Surat –surat yang dihantar oleh Pak Nik Zain kepada Wan Hafsah bt Wan Ali kini disimpan salinan asalnya oleh Tengku Sofiyuudden b Tengku Ahmad, manakala salinan penduanya tersimpan di Arkib Negara Malaysia.