Blogger Template by Blogcrowds

Rumah Wakaf di Makkah

Wednesday, October 8, 2008




-->
Sejarah Rumah Wakaf di Suleimaniah,
Makkah, Arab Saudi

Oleh Wan Zakaria b. Wan Sulaiman
Ketahuilah oleh sekalian anak cucu keturunan daripada datuk nenek kita yang bertiga beradik bahawa bahawa datuk nenek kita ada meninggalkan kepada kita sebuah rumah wakaf di bawah takrif Wakaf Khas di Kota Makkah Al-Mukarramah, Saudi Arabia bagi diwarisi turun-temurun dan dimanfaatkan semasa kita berada di Tanah Haram sama ada kerana menunaikan Haji, mengerjakan Umrah, menuntut ilmu atau sebagainya.
Untuk pengetahun dan makluman jua dengan ini dipaparkan sedikit sebanyak sejarah Rumah Wakaf tersebut sebagaimana berikut:


1. Muqadimah:

Ada diriwayatkan bahawa suatu ketika Allahyarham Tok Wan Ali benar-benar berniat (bernazar) hendak mewakafkan sebuah rumah sebagai Rumah Wakaf di kota Makkah. Boleh jadi hasrat atau ilham itu timbul oleh keranan pada masa itu sudah ada beberapa orang dari kalangan keluarga kita yang menuntut di kota Makkah dan pada hematnya mungkin Kota Makkah kelak akan menjadi tempat tumpuan oleh keluarga kita untuk menuntut ilmu. Harapan beliau mengadakan Rumah Wakaf ialah untuk memberi kemudahan bagi menarik minat dan menggalakkan anak cucu keturunannya pergi dan menuntut ilmu ke Makkah.

Hasrat yang tersirat tidak tercapai dan termakbul atau nazar tersebut tidak sempat disempurna dan ditunaikan sebelum beliau menghembus nafas terakhirnya oleh kerana wang yang disediakan untuk mengadakan Rumah Wakaf tersebut digunakan untuk membina surau di kampong surau, Pasir Pekan. Boleh jadi niatnya terubah dan terpinda oleh kerana terpengaruh dengan desakan dan suasana keadaan setempat yang benar-benar menghendaki kepada sebuah bangunan untuk surau pada masa itu. Oleh hal yang demikian wang yang ada digunakan untuk membina bangunan surau yang mana sekarang masih ada tertegak di samping bangunan masjid Pasir Pekan sekarang ini. Surau tersebut telah dibina kira-kira pada tahun 1926 iaitu selepas peristiwa yang bersejarah iaitu berlakunya banjir besar Bah Air Merah.


Bangunan Surau lama Pasir Pekan yang dibina pada tahun 1926 menggunakan wang yang asalnya disediakan oleh Wan Ali untuk mengadakan rumah wakaf di Mekah .

Selain dari itu, bagi menguatkan bukti hasrat dan hajatnya sehingga ada diriwayatnya, kononnya ada salah seorang dari keluarga kita telah diberi mimpi bahawa beliau diperlihatkan dalam mimpinya jasad Allahyarham Tok Wan Ali terapung-apung di permukaan air di dalam sebuah sungai. Pada beliau, mimpi seperti itu agak luar biasa dan menjadi tanda tanya. Lalu diceritakan kepada seorang ulamak akan mimpi tersebut. Bila ditadbir oleh ulamak tersebut, beliau berpendapat mungkin ada sesuatu hasrat atau hajat yang begitu tinggi dan besar yang belum tercapai ataua belum dapat disempurnakan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Oleh hal yan demikian waris-waris sama-sama cuba mengingati atau menyingkap kembali dengan kisah-kisah atau peristiwa-peristiwa yang lalu. Justeru dari itu, maka terlintaslah bahawa mingkin, besar kemungkinan boleh jadi hasrat dan azam hendak mengadakan Rumah wakaf di kota Makkah yang tidak tercapai atau terkabul.

Apabila dipohon pendapat para alim-ulamak berhubung dengan hasrat atau azam tersebut sama ada patut disempurnakan atau tidak, pihak para alim ulamak berpendapat eloklah supaya disempurnakan supaya apa yang dihajat dan dihasratkan tercapai dan terkabul. Dengan hal yang demikian, waris-waris berasa bertanggung-jawab di atas hasrat atau azam beliau tersebut dan membuat keputusan akan menyempurnakannya.

Bagi menyempurna dan memenuhi hasrat dan azam tersebut, maka mahu tidak mahu mereka terpaksa berkorban khususnya dari aspek mengumpul sumber kewangan untuk membiayainya. Bagi mencapai tujuan tersebut mereka telah berjemak-kira dan bermuafakat di antara mereka sesama mereka, maka dengan sebulat suara bersetuju mana-mana yang mewarisi Kebun Teluk Kuala Nal menajanya dari hasil pendapatan bulanan Kebun Teluk Kuala Nal.


2. RUMAH WAKAF YANG PERTAMA:

Pada akhir tahun 1938, melalui Allahyarham Haji Wan Adam dengan dibantu oleh Pak Nik Zain telah dapat dibeli sebuah rumah 4 tingkat yang agak selesa. Rumah tersebut terletak di Qasyasiah, iaitu berhadapan dengan rumah Syeikh Ali Maliki, iaitu seorang guru yang terkenal di Masjidil Haram. Pada masa itu Allahyarham Haji Wan Adam baru sahaja berkahwin dengan Hajjah Rugayah. Setelah dibeli, Allahyarham Haji Wan Adam berpindah dan tinggal di situ. Pada Tahun 1940, beliau pulang ke tanah air.

Rumah tersebut tidak dapat bertahan lebih lama oleh kerana Kerajaan Saudi mengambil balik kawasan itu untuk dijadikan sebagai kawasan perdagangan. Oleh itu, kawasan itu diambil balik dan rumah-rumah di kawasan tersebut diruntuhkan. Pampasan dan ganti rugi diberi.

Urusan penerimaan wang pampasan dan gantirugi bagi rumah tersebut terpaksa diurus oleh Pak Nik Zain oleh kerana Allahyarham Haji Wan Adam berada di tanah air dan seterusnya mengikut peraturan dan undang-undang Kerajaan Saudi, seorang yang bukan kerakyatan (tidak mempunyai iqamah) tidak boleh menguruskannya, sama ada menerima bayaran pampasan dan gantirugi, membeli tanah atau rumah atau sebagainya.


3. RUMAH WAKAF YANG KEDUA:

Dari wang pampasan dan ganti rugi tersebut, Pak Nik Zain membeli sebuah rumah yang terletak di kawasan di Suib Amir sebagai gantinya pada tahun 1956. Rumah tersebut tidak begitu selesa dan uzur. Tambahan pula didiami oleh satu keluarga Arab yang bermasaalah. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1957, rumah tersebut dijual dengan harga SR35,000.00.

4. RUMAH WAKAF YANG KETIGA:
Dari wang jualan rumah yang kedua sebanyak SR35,000.00 pada tahun 1958 dibeli pula sebuah rumah yang terletak di Suleimaniah. Dengan terbelinya rumah ini, Allahyarham Haji Wan Adam minta jasa baik Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim supaya ,mengadakan geran dan mendaftarkannya dengan Kementerian Wakaf. Didapati begitu sekali susah dan rumit untuk menyediakan geran. Namun demikian, dengan daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.

Di dalam geran tersebut menyata dengan jelas bahawa rumah tersebut telah dibeli oleh Pak Nik Zain dan mewakafkannya balik untuk kepentingan dan dimanfaatkan oleh anak cucu kepada zuriat keturunan datuk nenek kita yang bertiga beradik. . Pak Nik Zain bersama-sama dengan Syeikh Abd. Rahim telah dilantik sebagai nazirnya.

Apabila Allahyarham Haji Wan Adam meninggal pada 8 Julai 1957, semenjak dari tarikh tersebut urusan pengurusan Rumah Wakaf diambil alih oleh Allahyarham Haji Wan Sulaiman.
Pada peringkat awalnya rumah tersebut dibeli tidak boleh diduduki, oleh kerana tidak ada kemudahan bekalan api dan air disebabkan rumah itu tidak didaftar. Namun demikian rumah itu, diduduki oleh Tuan Haji Nik Mustapha dan Tuan Haji Ahmad Batu Tiga pada tahun 1958 atas persetujuan Hajjah Wan Hapsah dan Hajjah Nik Yatimah.

Pada tahun 1963 di atas daya usaha Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim maka geran bagi rumah disedia dan didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Saudi. Justeru dari itu, api dan lain-lain kemudahan dapat diadakan dan setelah itu barulah Allahyarham Haji Wan Hassan berpindah dan tinggal di situ.


5. TAKRIF WAKAF KHAS:

Telah dimaktub dan dinyatakan dengan jelas di dalam geran (hujjah) siapa yang berhak menduduki dan menghuninya. Oleh hal yang demikian pada hemat kita dan pada lazimnya wakaf yang sedemikian rupa bolehlah ditakrif sebagai wakaf khas.
Salinan Geran Rumah Wakaf

6. HUBUNGAN NAZIR DENGAN WARIS DI SINI:

Semasa Allahyarham Haji Wan Adam masih ada, beliau telah mengambil inisiatif menghubungi Pak Nik Zain dan Syeikh Abd. Rahim. Setelah beliau meninggal pada tahun 1957, Allahyarham Haji Wan Sulaiman mengambil alih tugas tersebut.

Mereka sentiasa menghubungi di antara mereka dari masa ke semasa. Hubungan tersebut tidak putus-putus dan bertali arus. Manakala Allahyarham Haji Wan Sulaiman meninggal pada tahun 1972, tugas tersebut tidak diambil alih oleh sesiapa. Maka terputuslah hubungan dan lenyaplah cerita Rumah Wakaf ini hampir 20 tahun.


7. MENCUNGKIL KEMBALI HAL RUMAH WAKAF:

Di akhir-akhir ini, atas daya usaha dan inisiatif yang diam bil dan dijalanakan sunguh-sungguh oleh:
Haji Wan Yusuf b. Haji Wan Abdul Samad
Haji Wan Idris b. Haji Wan Taib
Haji Wan Abdullah b. Haji Wan Yusoff
Haji Wan Musa b. Haji Wan Sulaiman
Haji Wan Mansor b. Haji Wan Sulaiman
Hajjah Wan Yatimah bt. Haji Wan Yusoff
Hajjah Wan Saidah bt. Haji Mohamed
Haji Wan Jamin b. Haji Wan Mahmood
Wan Zakaria b. Haji Wan Sulaiman
dapatlah dicungkil, dikembang dan subur kembali ingatan kepada Rumah Wakaf dan merintis jalan bagi menghubungi balik nazir dan anak-anak bekas nazirnya.


8. RUMAH WAKAF SEKARANG:

Rumah Wakaf tersebut terletak di Suleimaniah, Kota Makkah al-Mukarramah.
-->

Kiri: Lorong sempit dan bertangga naik menuju ke rumah wakaf. Gambar dirakam dari jalan besar dari Jeddah menghala ke Masjidil Haram. Kanan: Rumah wakaf 2 tingkat dilihat dari atas tebing. Kelihatan seorang pemuda berdiri di pintu rumah wakaf. Rumah wakaf ini diapit oleh bangunan hotel yang dikatakan pernah berhasrat untuk membeli rumah wakaf tersebut untuk dijadikan tempat letak kereta.
Pada masa rumah itu dibeli, keletakannya agak tersorok dan terpencil dan tinggal terbiar serta penuh dengan sampah sarap. Tidak ada bekalan api dan tidak ada siapa yang hendak menghuninya. Oleh kerana rasa bimbang rumah tersebut akan dihuni oleh penghuni yang tidak diingini atau tidak direstui, khususnya dari orang Arab, oleh itu pada tahun 1963 Allahyarham Hajjah Wan Hapsah bersama-sama dengan Hajjah Nik Yatimah semasa berada di Mekkah telah meninjau rumah tersebut, menyedari rumah tersebut tinggal terbiar dan bagi menfaatkannya mereka mengesyorkan kepada Pak Nik Zain supaya meminta Allahyarham Haji Wan Hassan menduduki dan mendiaminya serta mengawasi dan menyeliakannya. Justeru dari itu, mulai daripada tahun 1963 Allahyarham Haji Wan Hassan dan keluarganya menduduki dan mendiaminya.


Kiri: Laluan dari pintu masuk masuk menghala ke dalam rumah wakaf. Kanan: Menuju ke ruang tamu di tingkat atas.

Oleh kerana Allahyaram Haji Wan Hassan telah menduduki dan mendiaminya begitu lama maka pada masa itu tidak timbul langsung rumah tersebut sebagai Rumah Wakaf dan sebaliknya rumah tersebut lebih dikenali sebagai rumah Haji Wan Hassan.

Di samping itu Allahyarham Haji Wan Hassan telah membeli sebuah rumah di kawasan Kaaki yang terletak di luar kawasan Kota Makkatul Mukarramah. Dengan demikian beliau selalulah berulang alik ke rumah barunya dan akhirnya beliau menetap terus di Kaaki dan Rumah Wakaf tinggal terbiar, tidak terurus dan terjaga sekali lagi. Terbiar kali kedua ini terus terbiar hinggalah ke hari ini.

Pada tahun 1991 Allahyarham pulang ke Kelantan dan menyampaikan khabar berita dalam satu perjumpaan yang diadakan di Teratak Alimi bahawa di sebelah Rumah Wakaf ini dibangunkan sebuah hotel dan memandangkan rumah tersebut buruk, uzur dan tinggal terbiar, tuan ampunya hotel berhasrat untuk membeli tapaknya untuk dijadikan sebagai kawasan lapang dan tempat letak kereta. Pada hemat Allahyarham Haji Wan Hassan beliau lebih berminat meruntuh dan menjualkan tapaknya kepada pemaju hotel berkenaan dengan harga yang ditawarkan sebanyak SR450,000 dan dengan wang tersebut beliau cadangkan supaya dibeli rumah lain yang lebih besar, selesa dan lebih elok yang terletaknya jauh sedikit di luar Kota Mekkah. Lagi pun bimbang, rumah itu tidak boleh dibiarkan dalam keadaan demikian, nanti akan dimusnah dan tapaknya diambil oleh Pihak Berkuasa Kota Mekkah. Oleh hal yang demikian beliau meminta persetujuan kita di sini.

Hasil dari perjumpaan yang diadakan dan maklumat yang disampaikan telah menyedarkan kita bahawa Rumah Wakaf itu sebenarnya masih wujud dan berfungsi. Setelah berbincang keputusan telah dibuat iaitu kita tidak akan meruntuhkan rumah tersebut atau menjualnya. Kita seberapa boleh akan cuba mengekalkan tapak itu dan memajukannya.

Bermula dari peristiwa itulah jasa baik Syed Zain diminta supaya meninjau dan berunding bersama-sama dengan Syed Mohamed dari Jeddah untuk mencari jalan bagaimana hendak memajukannya. Atas permintaan tersebut Syed Zain telah meninjau dengan Kementerian Wakaf bagi mempastikan kedudukan statusnya. Melalui tinjauan Syed Zain didapati memang rumah itu ada geran (Hujjah) dan telah didaftar dengan Kementerian Wakaf Saudi.


9. WARIS GANTI YANG BERHAK

Mulai dari tarikh tersebut dan melalui Hujjah itulah kita sedar bahaawa kita yang berhak di atas Rumah Wakaf tersebut dan bagi meyakinkan semua pihak kita perlu membuktikan yang kita ini adalah zuriat keturunan daripada datuk nenek kita bertiga beradik. Justeru dari itu Allahyarham Haji Wan Mansor mengesyorkan, bagi membuktikan yang kita ini adalah anak-cucu zuriat keturunan dari datuk nenek kita bertiga beradik, hendaklah disediakan satu watiqah yang disah dan diperakukan sah oleh Imam Mukim, Qadhi Besar dan Kementerian Wakaf Arab Saudi bagi makluman dan tindakan sewajarnya.

Sehubungan dengan itu atas daya usaha Allahyarham Wan Mansor dapatlah disediakan satu watiqah dan telah disah dan seterusnya diperakukan oleh Imam Mukim, disah dan diperakukan oleh Al-Fadhil Dato’ Qadhi Besar Kelantan, seterusnya disah dan diperakukan pula oleh Kementerian Luar Negeri. Watiqah tersebut didaftarkan dengan Kementerian Wakaf Arab Saudi. Dengan demikian sekarang kita anak-cucu di sini telah disah dan diperakukan sebagai waris gantinya yang sah. Selain dari itu Haji Wan Yusoff bin Haji Wan Abd. Samad dan Allahyarham Wan Mansor bin Haji Wan Sulaiman dipersetujui dilantik sebagi wakil kita dari aspek pengurusannya.

Pada 14 hingga 28 Disember 1991 Haji Wan Yusoff dan Allahyarham Wan Mansor atas tajaan dari wang Kebun Teluk Kuala Nal telah berangkat ke Mekkah untuk mengurus rumah wakaf tersebut dan bagi mendapat salinan Hujjahnya. Selain dari itu cuba meninjau bagaimana hendak memulih dan memajukannya.
Pada kita lebih berminat supaya pemaju memajukannya atas dasar pawah iaitu dengan pemaju membina bangunan tinggi bertingkat-tingkat dan dua tingkat daripadanya dikhaskan untuk kita dan selebihnya bolehlah diambil manfaat darinya oleh pemaju. Setelah cukup tempoh, lazimnya 15 tahun, bangunan tersebut diserah balik kepada kita. Tetapi malang tidak ada pemaju yang berminat.

Pada bulan Oktober 1994 melalui Azami Haji Wan Yusoff telah disampaikan khabar berita mengatakan bahawa rumah tersebut telah dibaikpulih oleh Encik Suhaimi sebahagiannya dan diduduki sedangkan kita di sini tidak tahu-menahu langsung dan tidak pernah dihubungi oleh sesiapa pun untuk membaikpulihkannya. Kita rasa terkilan dan tertanya-tanya.

Oleh itu bagi mempastikannya, pada 8 hingga 21 Oktober 1994 Haji Wan Yusoff bersama-sama dengan Haji Wan Abdullah berangkat ke Mekkah untuk mengerjakan Umrah dan di samping itu bagi meninjau dan mempastikan berhubung dengan Rumah Wakaf tersebut.

Mereka dapati Rumah Wakaf tersebut telah dibaikpulih sebahagiannya oleh Encik Abdul Hadi Haji Mat dengan perbelanjaannya sendiri sebanyak SR35,000.00. Beliau telah menduduki rumah tersebut dan akan memanfaatkannya untuk mengimbuh balik wang yang dibelanjakannya. Bagi menguruskannya Haji Wan Yusoff dan Haji Wan Abdullah telah melantik beliau sebagai Penyelianya.


Atas: Penjaga dan penghuni rumah wakaf, Encik Suhaimi. Bawah: Encik Suhaimi, kanan sekali, ketika bergambar bersama jemaah haji yang bertandang di hadapan rumah wakaf pada 24 Disember 2007. Beliau yang berasal dari Tal Tujoh, Pasir Mas dan sudah mendapat taraf pemastautin tetap Kerajaan Arab Saudi itu mengusahakan perniagaan katering untuk menyara hidup beliau sekeluarga.
Perancangan Projek Pembesaran Kompleks Masjidil Haram yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Saudi yang melibatkan perobohan bangunan-bangunan di sekitar Masjidil Haram. Dikatakan Rumah Wakaf ini tidak termasuk dalam kawasan projek yang digazetkan.
Rumah Wakaf terletak di permulaan Jalan Abdullah Bin Al-Zubair
Khayalan pelukis apabila projek pembesaran tersebut siap kelak.

10. KESIMPULAN
Dengan berkat doa dari datuk nenek kita akhirnya niat dan hasrat mereka dapat juga sampai ke tangan anak cucunya walau pun terpaksa mengambil masa yang begitu lama dan menempuh liku-liku jalan yang rumit. Justeru itu kita boleh dikatakan cukup-cukup bernasib baik, kalau tidak rumah itu akan lesap entah ke mana, akan hilang begitu sahaja dan yang akan dapat dimanfaatkan hanya nama dan sejarahnya sahaja.
Dengan adanya salinan Hujjah di tangan kita maka yakinlah kita bahawa Rumah Wakaf tersebut masih wujud dan kita yang berhak di atasnya.

Rumah Wakaf yang diwakafkan oleh datuk nenek kita untuk kita sudah dibaik pulih. InsyaAllah bolehlah dimanfaatkan sekarang.

Kita sebagai waris ganti telah diperakukan dan mendapat pengiktirafan dari semua pihak yang berkenaan dan bersangkutan.

Itulah sedikit sebanyak sejarah berhubung dengan Rumah Wakaf untuk pengetahun dan makluman kita semua. Oleh itu sama-samalah kita memanfaatkannya semoga apa yang dihasratkan oleh datuk nenek kita tercapai.
Perlu dan sayugia diingatkan bahawa sebarang hubungan berkaitan dengan Rumah Wakaf hendaklah melalui Jawatankuasanya yang dilantik dari semasa ke semasa.

Wassalam

WAN ZAKARIA BIN HAJI WAN SULAIMAN
Termaktub di Teratak Kubang Labu,
Kampung Dalam Kota,
Pasir Pekan
Kelantan
Bertarikh: 24 Rejab 1415
27 Disember 1994

Nota: 1. Semua gambar serta keterangannya ditambah oleh penyunting dan bukan dari artikel penulis asal.
2. Surat –surat yang dihantar oleh Pak Nik Zain kepada Wan Hafsah bt Wan Ali kini disimpan salinan asalnya oleh Tengku Sofiyuudden b Tengku Ahmad, manakala salinan penduanya tersimpan di Arkib Negara Malaysia.

0 comments:

Post a Comment