Blogger Template by Blogcrowds

Gudang Syer

Friday, October 10, 2008

Gudang Syer[1]

Gudang ini mendapat nama SYER dari istilah bahasa Inggeris ‘SHARE” ertinya pakatan dan pelaburan. Perniagaan melalui Gudang Syer ini berasaskan kepada pakatan pelaburan dan usahasama keluarga Wan Ali dan adik-beradiknya yang menjual secara borong dan runcit barangan seperti beras, gula, garam, alat-alat membuat kain tenun seperti benang sutera, benang sturi dan sebagainya Gudang ini terletak di atas sebidang tanah seluas kira-kira 5 ekar di sebelah rusuk kiri kepala jambatan Sultan Yahya Petra dari arah Pasir Pekan ke Kota Bharu.Di atas tapak ini terdapat satu deretan kedai yang diberi sewa kepada orang lain dan satu tapak kedai yang diusahakan sendiri oleh keluarga Wan Nuh. Di situ juga terdapat satu tapak kilang papan bergergaji yang diusahakan oleh keluarga Wan Nuh.


Idea penubuhan gudang ini terbit apabila Wan Ali b Wan Nuh merasakan dirinya sudah tua dan dia sudah malas belayar lantaran mahu menumpukan perhatiannya kepada anak-anaknya yang kian membesar. Pada masa itu, Wan Ali mewakilkan urusan pembelian barangan seperti beras dan garam kepada pekerjanya yang sebelum ini dilakukan sendiri olehnya. Suatu hal yang menarik mengenai sikap Wan Ali ialah sekiranya dia sangsi dengan harga belian atau jualan barangan dagangannya dia akan bertanya khabar dengan rakan-rakannya yang biasa berniaga untuk mempastikan dia tidak ditipu oleh pekerjanya.


Tugas menyelia Gudang SYER ini dipertanggungjawabkan kepada Wan Abdul Samad b Wan Nuh, dan Wan Abdul Samad pula dibantu oleh seorang pengurus yang bernama Wan Ismail di samping Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.


Selepas kematian Wan Ali b Wan Nuh, Tugas mentadbir gudang SYER dan kilang papan bergergaji dilakukan sepenuhnya oleh Wan Abdul Samad dengan dibantu oleh seorang pengurusnya yang bernama Wan Ismail serta Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh.


Perniagaan Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin maju dan mendatangkan keuntungan yang lumayan bagi keluarga Wan Nuh sehingga Wan Abdul Samad b Wan Nuh yang dipertanggungjawabkan mentadbir gudang dan kilang itu dikatakan terlebih kaya dan mewah hidupnya berbanding dengan keluarganya yang lain.


Gudang SYER dan kilang papan bergergaji semakin mengecil apabila tanah tapak gudang dan kilang roboh sedikit demi sedikit setiap kali banjir akibat dihanyutkan oleh air. Gudang dan kilang ini ditutup secara resmi apabila tapak gudang dan kilang ini terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan kerana membina jambatan Sultan Yahya Petra.


Hasil wang pampasan ganti rugi tapak gudang dan kilang telah digunakan oleh keluarga Wan Nuh untuk membeli kilang papan bergergaji yang terletak di Tanjong Duff, Tumpat. Kilang ini ditadbir oleh Wan Yunus b Wan Taib b Wan Abdullah b Wan Nuh dan kemudiannya pengurusan kilang ini diambil alih oleh Wan Musa b Wan Sulaiman b Wan Abdulllah b Wan Nuh.


Perniagaan kilang papan bergergaji keluarga Wan Nuh berakhir apabila kilang ini terlepas ke tangan Wan Mahmood b Wan dari Tanah Merah kerana kecuaian pihak keluarga Wan Nuh tidak menukar nama pemilik tapak kilang ini kepada nama mereka sebaik saja mereka membeli tapak kilang dari pemilik asal. Akibatnya apabila pemilik asal meninggal dunia datanglah warisnya datang menuntut hak mereka.


Rujukan

Hasil temubual dengan Wan Jamin b Wan Mahmood b Wan Abdullah b Wan Nuh, Tengku Muniratussaniah bt Wan Mariam bt Wan Ali b Wan Nuh dan Wan Yatimah binti Wan Zahrah bt Wan Ali b Wan Nuh.



[1] Menurut Hajjah Che Habsah isteri kepada Hj. Wan Idris Wan Yunus, ejaan Gudang “SALE” tidak tepat.seperti yang dicatatkan dalam rencana sebelum ini. Sebenarnya ia dieja dengan ‘SYER’ ertinya pakatan dan pelaburan. Temubual oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah pada 2 Oktober 2008.

0 comments:

Post a Comment